Apakah Nilai Pip?
Sepanjang siri video ini, kami telah menjelaskan apakah pip, cara untuk membaca pasangan matawang dan perbezaan jenis 'lot'. Kini kita perlu mengetahui cara untuk mengira nilai kewangan sesebuah pip. Sebagai peringatan, pip merupakan ukuran terhadap perubahan dalam kadar tukaran pasangan matawang dan sepadan dengan angka perpuluhan keempat dalam pasangan seperti EURUSD, dan angka perpuluhan kedua seperti pasangan berasaskan Yen Jepun. Formula untuk mengira nilai bagi 1 pip, bagi setiap 100,000 unit (atau 1 lot) dalam matawang asas, ialah Amaun Matawang Asas X Pip = Amaun dalam Matawang Sebutan. Sebagai contoh, bagi pasangan EURUSD, formula yang digunakan akan kelihatan seperti ini: 1 lot (€100,000) X 0.0001 = $10. Bagi pasangan matawang yang berasaskan Yen, hasilnya mempunyai sedikit perbezaan kerana kedudukan pip adalah berbeza. Nilai bagi 1 pip dalam USDJPY ialah 1 lot ($100,000) X 0.01 = ¥1000. Mari kita lihat pada contoh yang lebih praktikal menggunakan dagangan: seorang pedagang membeli 1.5 lot GBPUSD pada 1.3030. Sebaik sahaja harga meningkat, misalnya kepada 1.3043, pedagang tersebut memutuskan untuk menutup kedudukannya. Kini dia telah menjana keuntungan sebanyak 13 pip. Formula bagi kes ini mungkin kelihatan seperti ini: 1.5 lot (£150,000) X 0.0013 = $195 untung!